5 Disember 2024 - Universiti Malaya tidak terkecuali daripada Misi Bantuan Sukarelawan Skuad Ihsan MADANI KPT kerjasama antara Kementerian Pendidikan Tinggi dan Majlis Sukarelawan Universiti-Universiti Malaysia (MASKUM) dalam menjayakan Misi Pertama bantuan pasca banjir di negeri Kelantan. Dalam misi ini, pasukan sukarelawan Universiti Malaya termasuk penyertaan Universiti Malaya Kampus Bachok terdiri daripada 2 pegawai, 16 kakitangan dan 30 sukarelawan mahasiswa bersama logistik yang dibawa telah menaburkan bakti dalam usaha pembersihan Sekolah Kebangsaan Rahmat, Pasir Mas.
Pasukan sukarelawan telah memberikan komitmen yang tinggi dan dengan penuh semangat telah membantu membersihkan persekitaran sekolah termasuk pembersihan tandas, kantin, kawasan sekolah dan bilik-bilik atas keperluan pihak sekolah, memindahkan kelengkapan termasuk membersihkan kelengkapan dan peralatan sekolah yang terjejas disebabkan bencana banjir yang berlaku. Selain itu juga, sukarelawan juga telah membantu meratakan semula premix yang pecah demi keselamatan murid di sekolah tersebut.
Usaha sukarelawan Universiti Malaya telah mendapat pujian daripada pengurusan sekolah dan pihak sekolah amat terharu dan berterima kasih atas kehadiran dan bantuan tenaga bersama logistik yang dibawa daripada sukarelawan Universiti Malaya. Pihak sekolah tidak menjangkakan bahawa usaha mulia sukarelawan ini telah disempurnakan dengan jayanya, penuh keceriaan, ikhlas dan bersemangat. Usaha sukarelawan juga telah berjaya membantu pihak sekolah dalam kerja pembersihan bagi persediaan persekolahan yang dijangka bermula ahad nanti. Guru Besar Sekolah Kebangsaan Rahmat telah menzahirkan ucapan terima kasih kepada barisan sukarelawan Universiti Malaya dan mengharapkan usaha murni ini diteruskan walaupon ditempat lain.
Pengurusan Universiti Malaya mengucapkan jutaan terima kasih kepada pegawai, kakitangan dan sukarelawan mahasiswa Universiti Malaya yang terlibat dalam usaha ini. Usaha mulia sebegini sewajarnya diteruskan dan Pengurusan Universiti Malaya sentiasa menyokong kuat pelaksanaan dan perjalanan misi sebegini.
Syabas dan tahniah pasukan sukarelawan Universiti Malaya.