• Welcome to Student Affairs Department
  • hep@um.edu.my
  • 03-79673506
logo
logo

1 Mei 2024 – Majlis Orator Universiti Malaya (MORUM) dengan kerjasama Pusat Keusahawanan dan Pembangunan Pelajar, Jabatan Hal Ehwal Pelajar telah menganjurkan majlis apresiasi di Pearl Hotel Kuala Lumpur bagi menghargai pencapaian pasukan yang membanggakan tahun 2023. Majlis tersebut melibatkan kehadiran 100 jemputan iaitu Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Pengarah Eksekutif Jabatan Hal Ehwal Pelajar, pegawai-pegawai Hal Ehwal Pelajar, Jurulatih Debat, Alumni Debat dan barisan pendebat Universiti Malaya.

Objektif penganjuran majlis adalah untuk menghargai segala usaha dan pengorbanan yang telah dibuktikan oleh para pendebat dan Jurulatih pada tahun 2023 dan secara langsung menyumbang kepada kecemerlangan Universiti Malaya. Hasil daripada usaha tersebut, daripada 44 acara yang disertai, 28 daripadanya telah mendapat kedudukan tertinggi iaitu Johan, Naib Johan dan tempat ketiga dalam pertandingan. Antara pencapaian terbaik adalah Johan bagi Pertandingan Debat Diraja antara Institut Pendidikan Tinggi (kategori Bahasa Arab Utama), Pertandingan Debat Diraja (Kategori Bahasa Inggeris Muda), Debat Terbuka ASTAR dan lain-lain. Naib Johan pula seperti Pertandingan Debat Diraja bagi kategori Bahasa Inggeris Utama, Debat Bahasa Arab Mawaddah, Debat Piala YAB Menteri Besar Selangor, Cambridge Debate 2023 di peringkat antarabangsa dan lain-lain. Dalam beberapa acara yang disertai juga, pendebat Universiti Malaya turut diiktiraf sebagai Pendebat Terbaik Keseluruhan dan Pendebat Terbaik Akhir. Pengiktirafan ini merupakan satu pengiktirafan yang membanggakan Universiti Malaya.

Antara aturcara yang dilaksanakan dalam majlis ini, penyerahan sijil penghargaan dan plak diberikan kepada semua pendebat Universiti Malaya di bawah MORUM bagi menghargai penyertaan dan sumbangan kejayaan yang dibawa kepada universiti. Sijil dan plak penghargaan turut disampaikan kepada semua barisan jurulatih termasuk Mantan Jurulatih Debat Bahasa Melayu yang telah menaburkan bakti melatih pasukan bermula tahun 2020 hingga 2023 dengan membawa banyak kejayaan kepada universiti.

YBrs. Prof. Dr. Sabri Musa, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) dalam ucapannya menyatakan sokongan yang kuat kepada sebarang usaha MORUM untuk menyertai sebarang pertandingan yang dianjurkan sama ada di peringkat kebangsaan atau persada antarabangsa. Dengan pencapaian yang telah dibuktikan oleh jurulatih dan MORUM, beliau yakin pasukan dapat membawa nama universiti ke peringkat yang lebih baik dan mengucapkan syabasa atas semua kejayaan yang dihadiahkan kepada universiti. Dalam ucapan Yang Dipertua Majlis Orator Universiti Malaya (MORUM) dan wakil jurulatih, mereka telah merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan kepada Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Pengurusan Universiti Malaya dan Jabatan Hal Ehwal pelajar kerana sentiasa menyokong dan meraikan kejayaan yang dicapai dengan menganjurkan majlis yang gemilang ini.

Highlights