• Welcome to Student Affairs Department
  • hep@um.edu.my
  • 03-79673506
logo
logo

Jumaat , 19 Ogos 2022

YBrs. Prof. Dr. Sabri Musa , Timbalan Naib Canselor (HEP) telah merasmikan Sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Malaysia Peringkat HEP Tahun 2022. Majlis ini dihadiri oleh 100 orang warga kerja HEP dan diserikan dengan tema pakaian warna Jalur Gemilang. Antara objektif utama program ini adalah untuk menanam semangat patriotism dan cintakan negara di kalangan warga kerja HEP di samping menghayati sejarah perjuangan pahlawan dan pemimpin terdahulu dalam mencapai kemerdekaan dan pembentukan sebuah negara berdaulat. Program ini juga bertujuan merapatkan hubungan silaturrahim sesama staf yang berbilang bangsa dan agama sebagai satu Keluarga Malaysia yang bersatu padu bak kata pepatah Bersatu Teguh, Bercerai Roboh. Ini juga selari tema Hari Kebangsaan tahun ini “Keluarga Malaysia: Teguh Bersama”.

Dalam majlis ini semua Ketua Pejabat di HEP, Pengetua dan Pengurus Kolej Kediaman menerima Jalur Gemilang daripada TNC (HEP) sebagai tanda kempen mengibarkan Jalur Gemilang telah bermula dan setiap pejabat akan menghiasi persekitaran dengan semangat patriotisme. Sebelum itu, semua bendera tersebut telah diarak ke sekitar Kompleks Perdanasiswa oleh pasukan Konvoi bermotor HEP. Dalam ucapan pelancaran tersebut, TNC (HEP) mengharapkan semua warga kerja HEP dapat menghayati semangat patriotisme dan menghargai pengorbanan setiap pejuang kemerdekaan sehingga Malaysia menjadi sebagai negara Merdeka. Beliau turut menghargai setiap sumbangan warga kerja HEP dalam program ini dan dedikasi dalam setiap urusan kerja.

Selain kempen mengibarkan Jalur Gemilang di pejabat HEP dan Kolej Kediaman, HEP turut mengadakan Pertandingan Pantun Patriotisme Antara Staf HEP, Pertandingan Penulisan Esei ‘ Negaraku’ (terbuka kepada pelajar UM), Pertandingan Drama Pendek Antara Kolej Kediaman, Sudut Merdeka dan video Merdeka. Majlis diakhiri dengan gimik pemasangan bendera di kenderaan rasmi HEP serta nyanyian lagu Jalur Gemilang secara beramai-ramai.

Highlights