Syabas dan tahniah kepada Kontingen Universiti Malaya kerana buat julung kalinya menyertai Pertandingan Permainan Tradisional Malaysia sempena Festival Permainan Malaysia@Kuala Lumpur (FPM@KL 2024) dan telah memenangi Naib Juara dengan membawa pulang 'Mock Cheque' yang bernilai RM4000 dan RM1000 bagi hadiah keseluruhan HIASAN KHEMAH TERBAIK. Pasukan UM berjaya mengumpul (2) pingat Emas, (7) pingat Perak dan (2) pingat Gangsa. Festival ini merupakan program jemputan anjuran Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKKN WPKL) dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Persatuan Sukan Tradisional Malaysia (SUTRA). Pertandingan kali ini telah disertai oleh 3 sektor yang berbeza iaitu 9 penyertaan bagi sektor badan beruniform (DBKL, MSAT, RELA, PDRM, IMEGRESEN, MARITIM, BOMBA, AADK dan APM), 11 penyertaan sektor korporat (MAHB,RHB BANK, KTMB, PTPTN, TNB, BNM, ETIQA, PERKESO, SWCORP, PETRONAS, BSN) dan 7 penyertaan bagi IPTA dan IPTS (UM, IIUM, UPNM, ASWARA, APU, MSU dan HELP UNIVERSITY). Juara keseluruhan bagi Pertandingan Permainan Tradisional Malaysia pada kali ini merupakan Universiti Islam Antarabangsa (IIUM).
Sebanyak 10 acara yang dipertandingkan iaitu Kelereng (L/P), Tarik Tali (L/P), Memanah (L/P), Galah Panjang (L/P), Batu Seremban (P), Terompah Gergasi (L), Menyumpit, Sepak Raga Ratus (L), Bola Sepak Kain Sarung (L), Tuju Tin (L). Seramai 82 orang ahli kontingen yang terdiri daripada pelbagai fakulti telah mengambil bahagian bagi kesemua acara. Kontingen Universiti Malaya diiringi oleh 40 orang pasukan Sorakan Jiwa dari Kolej Tun Syed Zahiruddin (KK9) diketuai oleh Saudara Nur Akil Shamil Mohamed (Pelajar Tahun 3, Fakulti Sains) serta 40 orang pasukan Penyokong yang diketuai oleh Saudara Ahmad Nabeel Eydeed Mohd Ikram pelajar PASUM (KK11). Kekuatan pasukan ini dibantu oleh 40 orang barisan ahli jawatankuasa, Pengurus Acara serta Sekretariat Pelajar yang diketuai oleh Saudara Afiq Aiman Zulkifli (Pelajar Tahun 1, Fakulti Sains). Pengetua Kolej Tun Syed Zahiruddin (KK9), DSP/KS Tuan Mohd Hairolnezam Kahmis serta DSP/KS Tuan Rozaini Abdul Rahim, Ketua, Jabatan Hal Ehwal Pelajar turut hadir memberikan sokongan kepada kontingen Universiti Malaya. Para peserta jelas kelihatan sungguh bersemangat kerana mendapat sokongan padu daripada pasukan penyokong serta barisan pengurusan Hal Ehwal Pelajar.
Majlis Penyampaian Hadiah telah disempurnakan oleh Yang Berusaha Tuan Mohd Amran Mohd Haris, Ketua Pengarah, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), turut diiringi YBrs. Tuan lsmadi Sakirin, Pengarah Eksekutif Pembangunan Sosio Ekonomi Dewan Bandaraya Kuala Lumpur, En Mohd Radzuan Abu Samah, Presiden Persatuan SUTRA dan Encik Shahrizal Abdan, Timbalan Pengarah (JKKN WPKL). Profesor Dr. Zamri Radzi, Timbalan Naib Canselor (HEP) turut dijemput untuk menyerikan sesi penyampaian hadiah bagi mewakili UA yang bertanding bagi kategori IPT. Hampir kesemua acara yang disertai oleh atlet sukan tradisional ini mendapat pingat dan menyumbang kepada kemenangan UM. Pasukan UM yang menang telah menerima medal manakala plak serta 'mock cheque' pula diserahkan kepada Ketua Kontingen UM, Pn. Barirah Md Husin, Ketua Pegawai Kebudayaan, Hal Ehwal Pelajar.