Jabatan Hal Ehwal Pelajar, UM mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan tahniah kepada SENADA UM pasangan duet , Saudara Muhammad Suffian Khirham (Fakulti Sains) dan Saudari Farranisha Shazwany Mohd Faizul (Fakulti Seni Kreatif) kerana telah dinobatkan sebagai Johan Festival Seni Suara Alunan Melodi, Universiti Kebangsaan Malaysia Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 (FESTSAM 2024). Pertandingan ini merupakan anjuran Kelab Vokalisukma Artisukma dengan kerjasama Pusat Kebudayaan Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah berlangsung pada 1 hingga 2 November 2024 (Jumaat dan Sabtu) bertempat di Panggung Seni UKM. Penyanyi duet ini telah membawa membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1500, trofi dan sijil serta RM300 bagi Anugerah Persembahan Terbaik.
Festival Seni Suara Alunan Melodi UKM 2024 merupakan pertandingan nyanyian secara duo lagu Irama Malaysia dan terbuka kepada semua pelajar yang berdaftar di Institusi Pengajian Tinggi Awam/Swasta (IPTA/S) Malaysia. SENADA UM mendapat sokongan penuh daripada Fakulti Seni Kreatif yang dibantu oleh En. Mohd Hairil Anuar Bari, Pegawai Kebudayaan, Fakulti Seni Kreatif.
FESTSAM kali ini dikunjungi hampir 300 pengunjung dari seluruh pelosok negara, membuktikan minat yang mendalam terhadap seni suara dalam kalangan masyarakat. Acara ini menjadi platform bagi bakat-bakat muda untuk menyerlah dan mempersembahkan keindahan seni suara tradisional serta moden, sambil berinteraksi dengan penggiat seni dari pelbagai peringkat.
Dengan penyertaan yang merangkumi 6 buah sekolah rendah, 9 buah sekolah menengah, dan 12 buah institusi pengajian tinggi (IPT), FESTSAM bukan sahaja mencerminkan komitmen penganjur terhadap pembangunan seni suara tempatan tetapi juga menyediakan ruang untuk berkongsi ilmu dan budaya dalam suasana harmoni dan penuh kreativiti. Penganjuran ini memberi 'platform' untuk mengangkat industri seni suara di Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang.
Syabas dan Tahniah sekali lagi diucapkan!