Universiti Malaya (UM) telah mengambil langkah proaktif dengan menjejaki Nur Fatihah Mohammad, 20, dari Kampung Pelain, Batu Gajah, Tanah Merah, Kelantan untuk menyampaikan bantuan bagi menyambung pengajian dalam jurusan Geografi di Fakulti Sastera dan Sains Sosial, UM. Sebagai seorang anak yatim piatu yang baru kehilangan ibunya, Pengurusan UM amat memahami kesulitan yang dihadapi oleh Nur Fatihah.
Dalam usaha membantu pelajar ini, UM telah bersetuju untuk membiayai yuran pengajian dan kos penginapan Nur Fatihah untuk tahun pertamanya. Selain itu, wang proses pendaftaran sebanyak RM500 yang telah dibayar sebelum ini juga akan dikembalikan.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Profesor Dr. Zamri Radzi, mengesahkan bahawa Nur Fatihah layak disenaraikan sebagai penerima bantuan sara hidup sepanjang pengajiannya. Beliau juga menyatakan bahawa pihak universiti akan mencari biasiswa yang sesuai untuknya.
Dalam kunjungan yang penuh makna, wakil UM turut menyerahkan bantuan komputer riba serta sumbangan wang tunai daripada Yayasan Perkasa Siswa. Kunjungan tersebut turut dihadiri oleh Puan Nor Hafizah Abdullah, Pengarah Pusat Komunikasi Korporat, bersama pegawai dari Jabatan Hal Ehwal Pelajar Universiti Malaya.
UM komited untuk memastikan semua pelajar, tanpa mengira latar belakang, mempunyai akses kepada pendidikan yang berkualiti dan sumber yang diperlukan untuk melanjutkan pengajian.