• Welcome to Student Affairs Department
  • hep@um.edu.my
  • 03-79673506
logo
logo

KEMERIAHAN FESKUM 2024 MEWARNAI KECERIAAN KONVOKESYEN UM KE-64 
 


Festival Konvokesyen Universiti Malaya atau ringkasnya FESKUM adalah acara tahunan yang diadakan bagi menyambut kegembiraan dan kejayaan para graduan dalam Istiadat Konvokesyen. Bukan sahaja graduan UM, malah ahli keluarga, rakan-rakan dan para pelajar UM juga amat teruja dengan penganjuran FESKUM setiap tahun.

FESKUM 2024 dengan tema – TENUNAN MEMORI mengadun beberapa program yang pelbagai bagi memenuhi citarasa generasi muda khususnya para pelajar dan para graduan serta ahli keluarga mereka serta masyarakat luar yang diharapkan dapat memeriahkan lagi Konvokesyen ke-64 Universiti Malaya. Setiap program yang dilaksanakan juga diharap menggamit memori indah para graduan semasa mereka bergelar siswa dan melalui kehidupan kampus yang penuh suka duka.

Kehidupan di kampus sejak tahun pertama bergelar pelajar baharu melalui Minggu Haluansiswa dan seterusnya melalui kehidupan di Kolej Kediaman. Berulang alik ke dewan kuliah setiap hari, berjalan kaki, menaiki bas, menunggang motorsikal dan menaiki kereta. Ada yang bermula sejak Asasi Sains lagi di peringkat Matrikulasi dan di Akademi Pengajian Islam Nilam Puri, kemudian berpindah ke UMEC Bachok. Ada juga yang bermula dengan pengajian tanpa kelas fizikal kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa siri kerana Wabak Covid 19. Kelas diadakan secara atas talian. Tidak dapat beraktiviti pelajar dan berpersatuan. Pengalaman belajar di rumah sewa, kolej kediaman dan Perpustakaan. Berebut menaiki bas untuk ke Dewan Peperiksaan dan sebagainya menjadi satu memori indah yang tidak dapat dilupakan. Apatah lagi memori bersama rakan-rakan ketika belajar, beraktiviti , berpersatuan dan sebagainya. Semua inilah MEMORI INDAH dan MENJADI KENANGAN SEPANJANG HAYAT.

Bermula 6 November 2024, FESKUM 2024 dilaksanakan dengan pelbagai program merangkumi Kerohanian, Akademik, Sukan, Kesihatan, Kesenian, Kebudayaan, Keusahawanan dan Kemasyarakatan dan kini tiba di penghujung tirai akan dilabuhkan pada 8 Disember 2024. Kesemua Ahli Jawatankuasa telah menggunakan seluruh masa, tenaga dan pemikiran bagi menjayakan perayaan terbesar kali ini. Bukan sahaja pelajar, malah para pegawai dan staf pelbagai PTj turut menjayakan program ini sebagai program Universiti untuk Masyarakat. Penghargaan tertinggi buat YBrs. Timbalan Naib Canselor (HEP) yang sentiasa berusaha mempastikan kelancaran program ini. Sokongan YBhg. Naib Canselor cukup ketara bersama Ahli Pengurusan kerana kerap hadir dalam program yang dianjurkan. Kami sangat menghargai.

Battle Of The Band, Splashy Ballon Run, Majlis Pelancaran FESKUM, Rentasi Magika adalah antara program yang dihadiri oleh Naib Canselor dan Ahli Pengurusan. Tidak termasuk mereka turut singgah di gerai-gerai jualan, gerai buku dan program lain secara tidak rasmi.

UM Bermunajat, Debat ASTAR, Gerai-gerai Jualan, Laser Tag, Wellnes and Wonders, Blood and Dental Care, Escape Room, Library Café dan Fiesta Warisan juga antara pelbagai program yang dilaksanakan. Tidak ketinggalan program kolaborasi bersama Universal Music. Kesemua ini mendapat sambutan yang meriah dan menggalakkan. FESKUM turut dimeriahkan dengan gerai jualan bunga dan cenderamata serta Klinik Pergigian Bergerak yang cukup ikonik.

Keceriaan jelas terpancar di wajah setiap graduan semasa mereka memasuki Dewan Tuanku Canselor (DTC) dan menerima Ijazah idaman disaksikan oleh ibu bapa, adik beradik dan saudara mara. Kegembiraan mereka turut sama dirasai warga UM secara keseluruhannya. Pelaksanaan dan kejayaan FESKUM 2024 adalah komitmen dan penglibatan semua pihak termasuk pelajar, staf, pensyarah, Pegawai dan pihak Pengurusan serta seluruh warga kampus. Maka kemeriahan FESKUM 2024 menambah keceriaan graduan di Konvokesyen ke-64 dan menjadi TENUNAN MEMORI yang kemas dan padat dalam lipatan sejarah.

Highlights