• Welcome to Student Affairs Department
  • hep@um.edu.my
  • 03-79673506
logo
logo

Kuala Lumpur, 13 Februari 2025 – Majlis Pemakaian Pangkat Komandan dan Timbalan Komandan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS) Universiti Malaya (UM) telah berlangsung dengan penuh istiadat di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur. Majlis ini telah disempurnakan oleh Ketua Polis Kuala Lumpur, YDH CP Dato' Rusdi Mohd Isa.

Dalam majlis tersebut, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UM, YDH ACP/KS  Prof. Dr. Zamri Radzi telah dilantik sebagai Komandan Kor SUKSIS UM, manakala Ketua Penolong Pendaftar Jabatan Hal Ehwal Pelajar UM, YDH Supt./KS Rozaini bin Abdul Rahim, dilantik sebagai Timbalan Komandan.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Zamri Radzi menzahirkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kerjasama erat yang diberikan dalam pembangunan sahsiah dan disiplin pelajar melalui Kor SUKSIS. Beliau turut merakamkan penghargaan kepada UM atas kepercayaan yang diberikan kepada beliau untuk menggalas amanah ini.

"Pangkat yang diberikan bukan sekadar satu pengiktirafan, tetapi merupakan satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab. Kerjasama erat antara UM dan PDRM akan terus diperkukuh demi memastikan pelajar yang menyertai Kor SUKSIS mendapat latihan dan pendedahan terbaik dalam bidang kepolisan serta kepimpinan," ujar beliau.

Majlis ini turut dihadiri oleh pegawai-pegawai kanan PDRM, wakil pengurusan Universiti Malaya, serta anggota Kor SUKSIS UM yang hadir bagi menyaksikan pelantikan rasmi kepimpinan baharu Kor SUKSIS universiti berprestij ini.

Highlights