03-7967 3506 hep@um.edu.my

"Jika boleh haramkan terus!"

Home / News

Harian Metro  |  21 Januari 2019

Penuntut tahun kedua Perancangan Bandar dan Wilayah, Nurmaisarah Mohd Asri, 21, berkata dia tidak selesa berdepan individu yang merokok kerana asap rokok mengganggu pernafasan dan persekitaran. Katanya, cadangan itu mesti dikuatkuasakan segera di kampus walaupun pewartaan untuk larangan itu sudah lama wujud.

“Bukan hanya penuntut, malah semua warga kampus termasuk kakitangan dan orang awam yang berkunjung ke kampus. Sering kali juga kita melihat orang luar merokok di kampus, tetapi tidak diendahkan. Mungkin selepas ini perlu tindakan yang tegas kerana mengganggu keselesaan warga kampus terutama penuntut,” katanya.

Bagi penuntut Sains Sukan, Universiti Malaya (UM), Nor Hisham Mohamad, 22, seseorang mahasiswa sememangnya sedar bahaya merokok kepada kesihatan, tetapi masih terdapat segelintir berbuat demikian kerana berkemungkinan mahu melepaskan tekanan. Katanya, cadangan larangan merokok di kampus wajar bagi melahirkan pelapis masa depan yang bebas daripada penyakit berbahaya kerana memberi kesan jangka panjang.

“Sebagaimana larangan merokok dikuatkuasakan di premis awam di luar kampus, macam itu juga wajar dilaksanakan dalam kampus dan jika boleh diharamkan terus selain tiada jarak ditentukan untuk merokok. Tipu jika tiada pelajar yang merokok, tapi mereka ini curi-curi untuk merokok seperti di tangga atau tandas. Pihak pentadbiran perlu lebih peka dan mengambil tindakan serius,” katanya.

Pengetua Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah (KK12) UM, Prof Madya Dr Nahrizul Adib Kadri berkata, pihak universiti akan mengenakan tindakan tatatertib kepada penghuni kolej kediaman yang didapati merokok. Katanya, mereka boleh membuat aduan kepada pihak pentadbir sekiranya terdapat penuntut yang merokok dan siasatan akan dilakukan.

“Amaran pertama akan diberikan kepada pelajar yang didapati merokok, tapi jika masih melakukan perbuatan itu, pengurusan universiti akan mengenakan tindakan tegas iaitu membuang pelajar dari kolej kediaman,” katanya.

Last Updated: 24/01/2019