03-7967 3506 hep@um.edu.my

Pelajar UM diberi pendedahan pelancongan sukan di Langkawi

Home / News

Sinar Harian (Kampus UOLS)  |  08 Januari 2019

Sekumpulan 30 pelajar jurusan Pengurusan Sukan dari Pusat Sukan dan Sains Eksesais, Universiti Malaya (UM) telah meluangkan masa di beberapa lokasi pelancongan sukan di Pulau Langkawi, Kedah, baru-baru ini.

“Walaupun Pulau Langkawi sudah sedia dikenali sebagai antara tarikan pelancong utama di negara kita, namun masih banyak lagi aspek pelancongan sukan yang boleh diteroka oleh pengunjung dari dalam dan luar negara,” kata Dr. Teo Eng Wah, pensyarah kanan di Pusat Sukan dan Sains Eksesais, UM yang juga merupakan penasihat program.

Antara lainnya, program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar mengenai sistem pengurusan yang diguna pakai oleh pemain industri pelancongan yang berkaitan sukan dan rekreasi di Langkawi.

Para peserta telah dibawa ke sebuah gimnasium Muay Thai kepunyaan seorang jurulatih rakyat tempatan di Pantai Cenang, dan menghabiskan masa mendalami aspek pengurusan dan pemasaran gimnasium.

“Ini adalah kali pertama saya mengunjungi sebuah gimnasium Muay Thai, dan mencuba sebuah sesi latihan. Tidak sangka ia amat menyeronokkan! Saya pasti, dengan komitmen dan teknik pengurusan yang betul, sesebuah produk rekreasi seperti gimnasium ini mampu memberikan impak sosioekonomi yang mampan kepada komuniti di sekelilingnya,” kata Jasmine Lai Pui Yee, pelajar jurusan Pengurusan Sukan yang menjadi peserta program.

Mereka turut mengunjungi Pulau Payar, yang terletak lebih kurang 30km dari Pulau Langkawi, dan melakukan aktiviti-aktiviti rekreasi air yang disediakan, seperti berenang, kayak, dan ‘snorkel’.

Menariknya, para peserta turut diminta melakukan beberapa tugasan akademik untuk disiapkan semasa program berlangsung.

“Mereka diminta untuk mengatur temubual bersama penduduk tempatan, pegawai dari agensi berkaitan, dan lain-lain pemegang taruh yang berkaitan bagi tujuan pengumpulan data. Data ini kemudiannya akan dianalisis dan digunakan sebagai sebahagian dari aspek penilaian untuk kerja kursus mereka,” kata Dr. Teo lagi mengakhiri temubual.

Untuk mendapatkan artikel penuh, sila TEKAN SINI untuk ke laman berkenaan.

Last Updated: 24/01/2019